Laman Utama
Berita
Soalan Lazim

Kata Aluan Menteri

Kata Aluan Menteri 
   

ALUAN

YB MENTERI PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT

Salam sejahtera,

Program Subsidi Mamogram merupakan inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan kesedaran wanita mengenai kesihatan payudara serta kepentingan pengesanan awal kanser payudara.

Kanser payudara telah diketahui umum sebagai kanser pembunuh utama wanita di Malaysia. Menurut Daftar Kanser Kebangsaan, pada tahun 2003, seramai 3,738 wanita telah dilaporkan menghidap kanser payudara. Adalah dianggarkan 1 daripada 19 wanita mempunyai risiko untuk menghidapi kanser payudara. Penyakit ini paling kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia 40 - 59 tahun. Peringkat umur ini juga merupakan masa yang produktif bagi wanita samada kepada keluarga mahupun kerjaya. Oleh itu, amatlah penting untuk pengesanan awal kanser payudara.

Pada masa ini, dunia perubatan mengiktiraf ujian mamogram sebagai gold standard bagi mengesan perubahan payudara yang berkemungkinan kanser sebelum tanda-tanda fizikal lain dapat dilihat atau dirasai. Di samping  itu, amalan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) secara tetap dan pemeriksaan klinikal payudara (PKP) di klinik  adalah penting dalam kehidupan seharian demi meningkatkan  kualiti kehidupan individu dan keluarga agar dapat menyumbang kepada pembangunan  keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam hal ini saya menyeru kaum lelaki agar turut memainkan peranan aktif sebagai pendorong kepada isteri, ibu dan  ahli keluarga wanita yang lain. Pengesanan awal menyelamatkan nyawa!

<< kembali