Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PULAU PINANG 6 Julai - Seorang daripada 19 wanita mempunyai risiko untuk mendapat kanser payudara iaitu salah satu penyakit yang merupakan antara pembunuh utama kaum wanita di negara ini.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Aminah Abdul Rahman berkata, untuk membendung penyakit berkenaan, langkah pengesanan awal perlu dilakukan termasuk ujian mamogram yang telah diterima pakai di peringkat antarabangsa.
''Kajian penduduk dan keluarga Malaysia yang dijalankan mendapati 60 peratus wanita membuat sendiri pemeriksaan payudara manakala 53.2 peratus menjalankan pemeriksaan di klinik.
''Namun jumlah itu tidak memadai kerana peratusan itu sepatutnya mencecah 80 hingga 90 peratus setanding dengan negara maju," katanya dalam ucapan sempena Majlis Kem Kesihatan Keluarga 'Nur Sejahtera' di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah LPPKN, Dr. Anjli Doshi Ghandi. Hadir sama dan merasmikan majlis itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Majimor Shariff.
Mengenai mamogram, katanya ujian berkenaan boleh dijalankan di semua klinik LPPKN dan Pusat Mamogram yang berdaftar dengan LPPKN.
''Di negeri ini pula, kita mempunyai dua pusat mamogram dan tambahan sebuah lagi pusat yang sama akan dibuka di Hospital Pakar Loh Guan Lye.
''Sepanjang tempoh setahun antara Jun tahun lalu sehingga bulan lepas, sebanyak 659 kes kanser payudara dikesan oleh dua Pusat Mamogram berkenaan dengan 96 kes dirujuk ke Klinik Toh Puan Datin Khatijah manakala selebihnya di Hospital Adventist," katanya.
Jumlah tersebut, katanya adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan bilangan kaum wanita di Pulau Pinang.
Justeru, katanya, ia menunjukkan bahawa tahap kesedaran mengenai kanser payu dara di kalangan wanita di negeri ini masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.
''Kaum wanita harus mengambil berat mengenai perkara ini kerana kita telah menyediakan pusat rawatan yang mencukupi bagi membantu mereka, ia bergantung kepada individu masing-masing untuk memainkan peranan," kataya.
Tambahnya, sungguhpun dunia perubatan belum menemui punca utama penyakit kanser tersebut, namun kajian mendapati hanya rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa seseorang.
Jelasnya, bagi kes-kes awal yang berada pada peringkat satu dan dua, kadar pemulihan melalui rawatan awal adalah masing-masing 90 dan 85 peratus namun bagi peringkat tiga dan empat, kadar pemulihan adalah kurang daripada 50 peratus.
Menurut beliau, statistik yang dikeluarkan oleh Daftar Kanser Kebangsaan juga menunjukkan kanser payudara berlaku kepada 46.2 orang wanita bagi setiap 100,000 orang.