Kuala Lumpur : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperuntukkan RM29 juta tahun ini untuk program subsidi mamogram, termasuk memperkenal dan melaksanakan kempen itu di seluruh negara. Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kementerian komited berkempen menggalakkan wanita menjalankan pemeriksaan mamogram di 16 hospital dan klinik swasta diiktiraf Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Beliau berkata, "kementerian mahu lebih banyak pusat mamogram swasta yang diiktiraf LPPKN ditubuhkan di seluruh negara bagi memudahkan wanita terutama kumpulan berisiko tinggi menghidap kanser payu dara menjalankan pemeriksaan."
"Kementerian berharap jumlah peruntukan tahun depan dapat ditingkatkan supaya matlamat menggalakkan pemeriksaan mamogram di kalangan wanita dilaksanakan lebih agresif dengan pembukaan lebih banyak pusat mamogram yang diiktiraf. Kita sasarkan seluruh kawasan Parlimen di seluruh negara mempunyai pusat mamogram. Setakat ini, kementerian menerima banyak permohonan daripada klinik dan hospital swasta yang berminat untuk terbabit dalam program subsidi mamogram ini," katanya selepas majlis pelancaran logo program subsidi mamogram dan penyerahan hadiah cabutan bertuah sambutan Hari Ibu 2007 di sini, semalam.
Pemenang bertuah berkenaan, Penolong Juruteknologi Maklumat, Yunaizah Mokhtar dari Pahang membawa pulang kereta Proton Gen 2 yang disampaikan Shahrizat.