Pengesanan Awal Menyelamat Nyawa
Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terutama wanita mengenai kanser payudara, Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
telah melaksanakan Program Subsidi Ujian Mamogram. Program ini menyasarkan kepada wanita warganegara
Malaysia dan penduduk tetap yang berumur 40-70 tahun yang layak bagi mendapat saringan ujian mamogram di
Pusat Mamogram Swasta yang berdaftar dengan LPPKN. Walau bagaimanapun bagi wanita yang berumur 35-39
tahun yang mempunyai sejarah keluarga mendapat kanser payudara sebelum berumur 40 tahun juga layak
mendapat subsidi ini melalui rujukan Doktor.
Ujian saringan mamogram PERCUMA diberikan kepada wanita yang berisiko tinggi berpendapatan isi rumah
RM10,000.00 dan ke bawah. Manakala bagi wanita yang berpendapatan isi rumah melebihi RM10,000.00,
subsidi sebanyak RM50 diberikan bagi setiap ujian mamogram yang dilakukan.
Wanita yang tidak mempunyai sebarang gejala dan tanda pada payudara mereka digalakkan untuk menjalani
ujian mamogram melalui Klinik-Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara. Wanita yang layak akan
dirujuk ke Pusat Mamogram Swasta yang berdaftar di bawah program ini.
Bagi wanita yang telah dikesan positif kanser, diharap dapat menjalani penyiasatan lanjut dan
mendapatkan rawatan di Hospital Kerajaan atau Hospital Swasta. Wanita yang memerlukan bantuan kewangan,
kaunseling dan sokongan khidmat nasihat akan diberikan oleh pelbagai agensi yang bekerjasama di bawah
program ini.
Semoga Program Subsidi Ujian Mamogram dapat memberi manfaat kepada wanita dalam usaha pengesanan awal
kanser payudara.
“Mamogram Mengesan Apa Yang Tidak Kelihatan”